fb fb fb fb fb

PEMILU 2024: 64,900 warga Indonesia berdaftar di Sarawak bakal mengundi

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono

KUCHING, 20 Januari- Seramai 64,900 warga Indonesia di Sarawak yang berdaftar bagi Pemilihan Umum (PEMILU) 2024 dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di 153 lokasi seluruh negeri, 11 Februari depan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, pihaknya sudah meminta bantuan pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Imigresen dan pihak polis untuk membantu kawalan keamanan di semua lokasi pelaksanaan PEMILU 2024.

“Kita berharap warga Indonesia di Sarawak dapat menyertai PEMILU 2024 dan mengundi kerana setiap suara cukup besar.

"Ia adalah hak kita untuk menentukan nasib Bangsa Negara Indonesia,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bhakti Imigrasi ke-74 di Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching.

PEMILU 2024 akan diadakan di Indonesia 14 Februari depan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Raden Sigit Witjaksono berharap penerbangan terus bagi laluan Kuching-Pontianak dibuka semula selepas selesai PEMILU 2024.

Ini bagi memudahkan akses rakyat kedua-dua wilayah untuk ke lokasi masing-masing tanpa mengambil masa yang panjang menggunakan laluan darat.

Laluan udara Pontianak-Kuching sebelum ini ditutup susulan penularan COVID-19 dan tidak disambung hingga hari ini.

“Kita sangat berharap selepas sudah ada Kepala Daerah, pembukaan semula laluan Pontianak-Kuching dapat dibincangkan dan dipertimbangkan untuk dibuka semula dan bukan hanya menambah kekerapan laluan Jakarta-Kuching sahaja,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pertambahan laluan Kuching-Jakarta oleh AirAsia kepada tujuh hari seminggu bermula 8 Februari depan, beliau berkaya, ia berita baik selain dapat memperkukuh dan memudahkan kunjungan rakyat ke kedua-dua wilayah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE