BUKIT MERTAJAM, 12 April — Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sekadar proses memilih barisan kepimpinan baharu, sebaliknya menjadi medium penting untuk memperkukuh semangat kekeluargaan serta memperkuatkan akar umbi parti.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau berharap proses pemilihan yang sedang berlangsung dapat berjalan dengan lancar, teratur dan telus demi memastikan keutuhan parti terus terpelihara.
"Saya berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan penuh amanah supaya proses pemilihan ini berlangsung dengan baik dan tersusun," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Permatang Pauh Ketupat Rewang di Dewan Yayasan Aman, di sini, hari ini.
Menurut Nurul Izzah, pada masa sama, tanggungjawab utama parti untuk terus bersama rakyat tidak boleh diketepikan meskipun proses pemilihan sedang berlangsung.
"Dalam kesempatan ini, saya menyeru semua anggota parti yang layak agar menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi. Ini penting supaya setiap suara dan mandat anggota dapat direkodkan secara sah," katanya.
Beliau turut berharap ahli-ahli parti dapat terus memberi sokongan kepada beliau sebagai calon Naib Presiden PKR dalam pemilihan kali ini.
"Saya amat berharap semua anggota dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan memberi sokongan kepada saya selaku calon Naib Presiden PKR, insya-Allah," katanya.