KUALA LUMPUR, 26 September- Langkah pemerkasaan peranan wanita dalam masyarakat memerlukan usaha kolaboratif semua pihak.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah, perkara itu bagi memastikan golongan wanita diberi peluang sama rata untuk menonjolkan potensi dalam pelbagai aspek meliputi pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.
"Beberapa matlamat dan strategi sedang dilaksanakan ke arah mencapai sasaran tersebut termasuk mencapai 100 peratus kadar tamat sekolah menengah untuk wanita menjelang 2030, meningkatkan perwakilan wanita di parlimen kepada 30 peratus menjelang 2028.
"...wanita kini memegang 15 peratus kerusi parlimen di Malaysia, mengurangkan jurang gaji antara lelaki dan wanita kepada kurang daripada lima peratus menjelang 2030. Memastikan 40 peratus jawatan pengurusan kanan dipegang oleh wanita menjelang 2035.
"Bersama-sama, kita boleh mewujudkan negara di mana setiap gadis menamatkan pendidikannya, suara wanita diwakili sama dalam badan pembuat keputusan tertinggi, kerja yang sama menerima gaji yang sama, dan wanita memimpin organisasi kita dengan unjuran sama dengan lelaki," titah Raja Zarith Sofiah.
Raja Permaisuri Agong bertitah demikian menerusi ucapan pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2024 (WWEBS 2024) di ibu negara.
Dalam pada itu Seri Paduka Baginda juga bertitah supaya aspek pemerkasaan ekonomi wanita perlu diberi perhatian termasuk menyediakan modal dan latihan sewajarnya agar golongan itu lebih berdaya saing dalam sektor ekonomi.
"Program kewangan mikro telah menyediakan modal dan latihan kepada lebih 500,000 usahawan wanita untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
"Inisiatif "Digital Divas" telah melengkapkan 100,000 wanita dengan kemahiran digital, membolehkan mereka berkembang maju dalam ekonomi gig dan sektor e-dagang," titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia mempunyai perjalanan tersendiri dalam memperkasa peranan dan pembangunan wanita.
Ia termasuk penggubalan perundangan dan dasar signifikan bagi memastikan kesaksamaan jantina selain mewujudkan persekitaran tempat kerja dan ruang awam selamat buat wanita.