fb fb fb fb fb

Pemerkasaan bumiputera, tingkat mobiliti sosial

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kerajaan terus memberi fokus terhadap dasar pemerkasaan bumiputera ke arah meningkatkan mobiliti sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertanggungjawab mengekalkan usaha berterusan bagi mencapai matlamat itu.

Perkara tersebut termasuk membuka peluang pendidikan dan kemahiran kepada golongan itu sekali gus, meningkatkan kedudukan dalam masyarakat.

"Kejayaan dasar bumiputera terutama melalui MARA adalah yang disebut mobiliti sosial yang ketara. Anak-anak dari kelompok miskin dari desa dan pedalaman diberi peluang untuk meningkatkan kedudukan mereka melalui pendidikan.

"Mobiliti sosial ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia, tanpa dasar bumiputera dan MARA kita akan lihat umpamanya kecundang. Masyarakat Melayu, tidak dapat meningkatkan kedudukan mereka melalui mobiliti sosial jelas.

"Apa pun pandangan setiap rakyat, jangan kita mendustai dan memungkiri kenyataan sejarah bahawa melalui dasar ekonomi, bumiputera boleh mengangkat peluang dan memberikan kedudukan lebih lumayan sebagai profesional, juruteknik kemahiran yang sebelumnya itu tidak diperolehi oleh masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA MADANI Sempena Hari MARA ke-59 di ibu negara.

Menurut Perdana Menteri MARA selaku agensi bertanggungjawab kekal mempamerkan usaha berterusan dalam memastikan masyarakat luar bandar terus terbela.

Dalam pada itu beliau mahu dana amanah diurus dengan sebaiknya dan bertanggungjawab kerana ia merupakan langkah penting dalam memulihkan maruah serta martabat bangsa sekali gus mengangkat ekonomi bumiputera ke tahap lebih tinggi.

"Dalam cara kita mengurus dana, kita memulihkan keyakinan pada diri dan pada masyarakat. Bagaimana setiap sen dana amanah itu dikendalikan dengan penuh bertanggungjawab bukan sahaja kepada badan yang kita wakili, amanah MARA tetapi kepada Allah.

"Ramadan juga menuntut kita meningkatkan makna ihsan kemanusiaan, keprihatinan. Ada kaitan dengan MARA yang membentuk, kita bernasib baik dalam simpang siur politik dan kecamuk tidak menentu masih ada pimpinan berwibawa mempunyai wawasan melihat dan menyelamatkan anak bangsa," katanya lagi.

Pelancaran Wakaf MARA MADANI merupakan usaha memartabatkan agenda selain memberi peluang kepada bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini untuk membangun dan menententukan masa depan.

Jelas Perdana Menteri wakaf MARA MADANI yang diluncurkan hari ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun MARA Ke-59 dan ia adalah sebahagian warisan umat Islam untuk membina kekuatan dari peringkat akar umbi.

"Wakaf MADANI ini menunjukkan bahawa sudah sampai ke tahap ia menerima peluang dan peruntukan. Pada masa ini kita perlu tunjukkan bahawa kita adalah bangsa bermaruah boleh menentukan masa depan kita.

"Wakaf ini institusi yang dikaitkan dengan keyakinan kita, turath, legasi dan warisan kita dengan maksud membina kekuatan dari akar umbi dan rakyat kita. Dengan kepercayaan bahawa kita kalau bekerja sebagai satu pasukan yang kecil-kecil ini akan menjadi kekuatan," katanya lagi.

Matlamat utama penubuhan Wakaf MARA MADANI adalah menjadi pemangkin dalam mewujudkan masyarakat bumiputera dengan kesejahteraan sosioekonomi melalui instrumen wakaf secara lestari.

Kerajaan MADANI memberi dukungan dan perhatian penuh dengan menyalurkan geran RM100 juta sebagai modal pemula untuk membina ekosistem wakaf yang telus, amanah dan lestari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI