
CYBERJAYA, 28 Julai – Pengukuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara perlu dimulakan dengan pemerkasaan bakat dan kemahiran tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aspek tersebut penting mengambil kira maklum balas syarikat gergasi yang berpandangan Malaysia masih perlu memperkasa tenaga kerja mahir, selari dengan keperluan industri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sinergi strategik antara institusi pendidikan dan industri perlu diperkasakan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja, sekali gus berupaya menerajui pembangunan teknologi negara.
“Apakah kita mempunyai keupayaan? Terbatas. Maka, seluruh perubahan dalam sistem pendidikan kita, dari peringkat rendah, harus mula diberi pendedahan mengenai AI. Guru, latihan dan prasarana asas, semuanya perlu diperkasakan.
“Kita ada fakulti AI, kita ada jabatan AI. Bagaimana kita boleh menilai? Kita menilai berdasarkan kekuatan dan kemahiran yang ada. Kejuruteraan di universiti terkemuka adalah baik kerana rankingnya juga baik.
“Namun, apabila ditanyakan kepada syarikat-syarikat besar seperti Infineon, Google, Microsoft, Huawei dan Ericsson, ternyata bidang pengajian serta kemahiran kita masih perlu dipertingkatkan lagi melalui sinergi antara akademik dan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di Cyberjaya.
Datuk Seri Anwar menegaskan kemajuan teknologi AI tidak boleh dicapai dengan mengorbankan nilai agama, budaya dan moral.
Sebaliknya, Malaysia perlu mengimbangi kecanggihan teknologi dengan pembentukan insan yang berteraskan nilai kemanusiaa.
Sekali gus, memastikan pembangunan AI memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menghakis identiti negara.
“Kita mahu melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan industri dan AI, pada masa yang sama membentuk insan yang mempunyai nilai kemanusiaan. Seperti yang disebut tadi, nilai manusiawi amat penting.
“Apatah lagi cabaran di Malaysia. Jika kita tidak mendedahkan anak-anak kita kepada nilai, budaya dan kemanusiaan yang menjadi teras kehidupan dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta merangkul kekuatan semua kaum, agama dan budaya, kita akan dihujani dengan pelbagai naratif dari luar,” katanya