fb fb fb fb fb

Pembukaan dua lagi pusat NADI di Johor lengkapkan 101 NADI di negeri itu

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching

KULAI, 22 Mac - Dua buah lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Johor akan dibuka penghujung, bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, ia melibatkan lokasi di Parlimen Sri Gading iaitu Kampung Bukit Sri Wangi, Batu Pahat dan DUN Larkin di Kebun Teh, Johor Bahru.

Katanya, pembukaan kedua-dua Pusat NADI itu, sekali gus melengkapkan 101 NADI di Johor, selaras dengan inisiatif 1 DUN 1 NADI.

"Kita memang amat menggalakkan penduduk sekitar datang dan menikmati kemudahan yang telah disediakan NADI. Untuk setiap NADI kami sekurangnya ada 20 unit komputer riba yang boleh diguna pakai.

"Ia sama ada kita nak adakan e-kelas atau NADI berhasrat untuk melatih e-usahawan. Ini juga merupakan salah satu inisiatif bawah NADI dimana kita nak bantu bagi meningkatkan pendapatan isi rumah tangga," kata Teo Nie Ching ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Nadi Bandar Senai, di sini.

Kira-kira 4,00 usahawan bakal menerima manfaat menerusi latihan yang dibekalkan dengan setiap pusat akan memilih lapan usahawan untuk dilatih.

Daripada lapan usahawan, empat daripadanya akan dipilih menjadi Ikon NADI dan seterusnya dua peserta yang memperoleh prestasi paling tinggi akan dihantar untuk menerima latihan lebih lanjut.

Sementara itu Teo Nie Ching berkata, sebanyak 568 lokasi di Johor, dikesan bagi melaksanakan gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) untuk fasa dua.

Projek berkenaan telah mula dilaksanakan dengan 17 daripada lokasi itu telah siap dibina.

"Bawah parlimen Kulai bawah projek PoP fasa 1, tiga buah sekolah telah dipilih iaitu SMK Kelapa Sawit, SMK Bukit Batu dan satu lagi kawasan industri Sedenak. Tetapi bawah fasa dua, 12 buah sekolah telah dipilih dimana sekolah itu akan dirujuk sebagai "central point"," katanya.

Antara sekolah yang dipilih untuk melaksanakan Projek PoP fasa dua merupakan Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Felda Taib Andak, Sekolah Kebangsaan Felda Inas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kelan, Kulai.

TETITIA YUSOFF