fb fb fb fb fb

Pembinaan lebuh raya Tanjung Malim-Lumut rancakkan industri AHTV

Datuk Seri Saarani Mohamad

PARIT BUNTAR, 16 April- Cadangan pembinaan projek lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim dengan Lumut bakal merancakkan industri Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim serta memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan pembinaan projek lebuh raya itu telah didaftarkan bawah Kementerian Kewangan dan ia masih berada di peringkat awal untuk dilaksanakan.

Jelas beliau, cadangan pembinaan lebuh raya itu sebagai pelengkap kepada perancangan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) yang dijangka menarik nilai pelaburan RM3.2 billion.

"Sebab itu kita akan perkasakan Pelabuhan Lumut, kita juga telah lancarkan Terminal Maritim Lumut (LMT) 2 baru-baru ini. Semua produk daripada AHTV kita akan eksport melalui Pelabuhan Lumut.

"Itu cadangan kita, sebab itu ada keperluan untuk membina lebuh raya baharu. Dia belum mula tetapi sudah mendaftar untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt (MW) dan Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) di sini.

Pendaftaran projek lebuh raya berkenaan merupakan salah satu daripada 10 projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan.

Selain projek lebuh raya tersebut, kerajaan negeri turut mengemukakan cadangan lain termasuk projek pengairan sumber air Sungai Perak ke Kerian sebagai usaha mengatasi masalah kekerapan kemarau di utara Perak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI