KUALA LUMPUR, 6 Mac- Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan pemberian kepada kerajaan negeri kepada RM9.8 bilion tahun ini, berbanding RM9.3 bilion, tahun lalu.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan peruntukan itu bertujuan membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat.
Menerusi laman Facebook, beliau yang juga Menteri kewangan itu memaklumkan, antara persetujuan utama dalam Majlis Mesyuarat Kewangan Negara 2025 itu adalah peningkatan kadar pemberian mengikut bilangan orang kepada kerajaan negeri.
"Peningkatan kadar ini diluluskan sebanyak 25 peratus kepada RM548 juta, berkuat kuasa tahun depan.
Ia juga merupakan julung kalinya kadar itu disemak semula sejak 2022.
Selain itu, pemberian Pindaan Fiskal Ekologi (EFT) turut ditambah kepada RM250 juta manakala peruntukan bagi program pertanian meningkat kepada RM300 juta," kata kenyataan itu.
Jelas beliau, hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 di Kementerian Kewangan.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, ahli kabinet serta pegawai tertinggi kerajaan.