fb fb fb fb fb

Pembenihan awan, bantu kekal kadar hujan di selatan Kelantan - METMalaysia

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip

SUBANG, 23 Jun- Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri Kelantan berjaya menghasilkan antara 10 hingga 20 milimeter (mm) hujan pada hari pertama pelaksanaan sekali gus mengekalkan kadar hujan yang sama dalam operasi terakhirnya hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata hasil positif itu diperolehi berikutan penerimaan kadar hujan yang mencukupi meliputi kawasan sasaran tanaman padi utama seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

"Operasi pembenihan awan pada 21 haribulan Jun berjaya menghasilkan banyak hujan di bahagian selatan Kelantan. Untuk menghasilkan hujan yang lebat di satu kawasan itu, kita perlukan awan yang kita panggil awan kumulonimbus."

"Itu adalah awan ribut petir yang besar ataupun yang tengah membentuk. Kalau awan itu mula terbentuk, kita benihkan, insya-Allah ia akan turunkan hujan dengan banyak di kawasan terbabit," kata Dr. Mohd Hisham kepada pemberita dalam sidang media Operasi Pembenihan Awan OPA di Pangkalan Udara TUDM Subang, hari ini.

Jelasnya, sebanyak 6,000 liter bancuhan air garam diperlukan bagi keseluruhan empat tangki yang digunakan dalam operasi tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM