PADANG RENGAS, 25 Mac – Pembelian 30 pesawat baru Malaysia Airlines (MAS) daripada Boeing dibuat mengikut prosedur sedia ada dan tidak melibatkan sebarang kepentingan tertentu, tegas Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, proses perolehan pesawat komersial bukan sesuatu yang baharu dan telah dilaksanakan sejak dahulu mengikut dasar dan pendekatan sedia ada syarikat penerbangan negara.
"Proses beli kapal terbang ini prosesnya lama, bertahun-tahun... perlu diselaraskan dan dipersetujui beberapa terma serta harga.
"Cuma baru-baru ini sahaja dipersetujui oleh semua pihak dan kita tandatangani. Sebelum-sebelum ini pun kita beli Boeing, apa masalahnya? Itu memang dasar dan pendekatan yang diguna MAS sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih Madani Aidilfitri Parlimen Padang Rengas malam tadi.
Kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan Presiden Gerakan, Dominic Lau, yang mengaitkan pembelian pesawat berkenaan kononnya sebagai pertukaran untuk membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertemu dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM200,000 daripada Pejabat Perdana Menteri telah disalurkan kepada 1,000 penerima di Parlimen Padang Rengas, sebagai bantuan sempena sambutan Aidilfitri.
Katanya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.