fb fb fb fb fb

PEMBAWA sambut baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Langkah progresif kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar amat dialu-alukan pengusaha bas ekspres.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail berkata usaha kerajaan menyenaraikan pengusaha bas ekspres sebagai penerima subsidi diesel bersasar merupakan langkah tepat.

"Diesel merupakan elemen dan keperluan utama dalam industri bas ekspres. Semua pengusaha bas ekspres di Malaysia masih menggunakan enjin yang menggunakan diesel sebagai bahan api. Kadar penggunaan diesel untuk pengusaha bas adalah sangat tinggi."

"Oleh itu, pemberian harga subsidi diesel kepada pengusaha bas sangat diperlukan bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan bas ekspres yang pastinya akan turut memberi kesan yang baik kepada pihak terlibat," kata Laili kepada pemberita RTM secara eksklusif.

Tambahnya, inisiatif itu bukan hanya membantu golongan pengusaha bas ekspress, malah turut menyuburkan industri pengangkutan yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara yang disiar pada Selasa mengumumkan penyasaran subsidi bahan api itu bagi memastikan ia benar-benar dinikmati golongan yang layak sahaja.

Di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebanyak 23 jenis kenderaan mengangkut barang yang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.

Setakat ini, sebanyak 90,000 kenderaan sudah menerima 'fleet card' masing-masing.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM