fb fb fb fb fb

Pembangunan semula KL Sentral dijangka bermula awal 2025

Menteri Pengangkutan Anthony Loke / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan bahawa projek pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dapat dimulakan awal tahun depan.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata setakat ini, syarat dan ketentuan untuk projek pembangunan semula Perkongsian Awam Swasta (PPP) masih dalam perundingan antara Unit Perkongsian Awam Swasta (Ukas) dan pemaju.

“Kami perlu memuktamadkan perjanjian terlebih dahulu sebelum dapat memulakan pembinaan, jadi kami berharap perundingan ini dapat diselesaikan dalam tahun ini, iaitu dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, dan mudah-mudahan projek pembangunan semula dapat dimulakan awal tahun depan.

"Dengan PPP, keseluruhan kos akan ditanggung oleh pemaju, sebagai balasan, pemaju akan menerima hak udara untuk pembangunan yang membolehkan mereka membina bangunan di atas stesen, mencipta pembangunan bercampur," katanya pada sidang media di sini.

Loke berkata demikian ketika ditanya berhubung kemajuan pembangunan semula KL Sentral yang sebelum ini dilaporkan akan bermula akhir tahun ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa KL Sentral akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang projek pembangunan semula tersebut.

Dalam pada itu, Loke memberitahu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 mengenai inisiatif pas My50, yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM216 juta dijangka menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.-BERNAMA

Trainee2