fb fb fb fb fb

Pemasangan wi-fi di 140 sekolah di Johor, selesai Disember ini

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 28 November- Pemasangan rangkaian wi-fi di 140 buah sekolah terpilih di Johor dengan kos RM400,000 tahun ini, dijangka selesai bulan depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata 20 buah sekolah agama dalam fasa satu dan 72 daripada 120 buah sekolah bagi fasa dua telah dilengkapi peranti wi-fi, setakat bulan ini.

Inisiatif yang dijalankan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu, akan diteruskan pada tahun hadapan bagi mencapai sasaran pembekalan wi-fi kepada 583 buah sekolah.

"Bagi DUN Sungai Balang, sebanyak tiga buah sekolah agama yang menerima manfaat wi-fi dan televisyen pintar daripada Perbadanan Islam Johor bagi melengkapi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

Sekolah Agama (SA) yang menerima manfaat tersebut adalah SA Parit Jamil, SA Sungai Balang Darat dan SA Sungai Resik," kata Fared kepada dalam Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-15, di sini.

Selain itu, sebanyak 151 buah masjid dan surau di Johor telah menerima kemudahan wi-fi melibatkan kos RM470,000, setakat 16 November lalu.

Sebanyak 320 buah masjid dan surau disasarkan untuk dilengkapi wi-fi pada tahun hadapan, melibatkan kos RM878,000.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM