ALOR SETAR, 9 Februari - Pemaju diarahkan supaya sentiasa mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa dan melaporkan sebarang insiden yang berlaku khususnya melibatkan konflik dan kacau ganggu kepada penduduk.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata, notis arahan bawah Seksyen 37 (1) (d) dikeluarkan kepada pemaju yang mempunyai kaitan dengan peletupan di Kedah supaya mengemukakan laporan peletupan dan kawalan peletupan yang dilaksanakan di tapak.
Ia susulan kejadian letupan kuat dipercayai berpunca daripada aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari berhampiran Kampung Padang Mukim Sungai Kecil Hilir, Bandar Baharu Kedah.
Arahan itu dikeluarkan setelah JAS menggerakkan pasukan siasatan ke kuari dan rumah penduduk berdekatan semalam.
JAS turut mengesahkan aktiviti letupan bongkah batu di kuari terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
"Berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan tahap bunyi dan gegaran di tapak kuari berkenaan mematuhi had ditetapkan.
"Semakan JAS Kedah terhadap rekod letupan kuari membabitkan paramater Peak Sound Pressure Level (PSPL) serta Peak Vector Sum bagi mengukur tahap bunyi dan gegaran yang didengar penduduk berdekatan," kata Sharifah Zakiah.
Pihaknya mengetahui insiden berkenaan melalui pihak media yang melaporkan rumah di kampung berhampiran kuari itu mengalami kerosakan akibat aktiviti kuari.
Sharifah Zakiah berkata, hasil perbincangan antara JAS Kedah dengan syarikat kuari keputusan dicapai untuk pengusaha kuari menanggung kos membaiki kerosakan rumah penduduk.