KUALA LUMPUR, 23 Februari- Pemain industri kesihatan swasta digalakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memenuhi keperluan dan penjagaan rawatan kepada pesakit kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata kerjasama strategik itu diyakini dapat membantu pertumbuhan industri perubatan negara yang mampan.
"Apabila mempunyai keupayaan untuk melakukan sesuatu secara strategik, apa yang paling penting adalah sektor swasta dapat memahami bahawa di masa hadapan dapat bekerjasama dengan KKM.
"Sebagai Menteri Kesihatan Malaysia kita perlu melakukannya untuk kedua-dua premis iaitu hospital awam dan swasta," katanya dalam sidang media selepas majlis memperbaharu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan IHH Healthcare Malaysia (IHH Malaysia) di Hospital Gleneagles di ibu negara.
Majlis MoU tersebut adalah untuk menyediakan penjagaan dan rawatan kepada 500 lagi pesakit kanser dari hospital KKM di Malaysia melalui rangkaian hospitalnya yang terdiri daripada Hospital Pantai, Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.
Dzukefly berkata pesakit berkenaan akan mendapatkan rawatan radioterapi dan radiosurgeri secara percuma di hospital berkenaan bermula 1 Mac.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Norazman Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Jean Francois Naa disaksikan oleh Dr Dzulkefly dan Pengerusi IHH Healthcare Malaysia Tan Sri Mohammed Azlan Hashim.