fb fb fb fb fb

Peluang kedua 10,000 calon tercicir SPM 2022

SUNGAI PETANI, 30 Julai - Kira-kira 10,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah mendaftar untuk mengambil semula peperiksaan itu pada tahun ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Angka itu merupakan daripada hampir 30,000 pelajar tercicir yang tidak mendaftar untuk peperiksaan itu.

Fadhlina berkata, kementeriannya sentiasa komited memberi peluang kepada pelajar yang tercicir untuk mereka menduduki peperiksaan itu demi masa depan masing-masing.

Oleh itu, tempoh pendaftaran SPM 2023 dilanjutkan bagi 10,000 pelajar itu mendaftarkan diri sebagai calon persendirian.

"Semasa kita ambil keputusan untuk maklumkan keciciran atau ketidakhadiran pelajar SPM yang lepas, kita dapat mengumpulkan data seramai lebih kurang (hampir) 30,000 orang.

“Komitmen kita ialah melakukan intervensi terhadap 30,000 ini ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya, alhamdulillah, kita dapat kenal pasti, apabila kita buat program dan membuka lanjutan tempoh untuk mendaftar ulangan SPM,” katanya kepada pemberita pada Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Universiti Aimst dekat sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan memandang serius terhadap laporan bahawa hampir 30,000 pelajar yang tidak menduduki SPM.

Anwar mengarahkan Fadhlina meneliti secara terperinci mengenai isu tersebut supaya ia tidak berulang pada tahun-tahun mendatang.

Fadhlina berkata pihaknya kini memberikan perhatian terhadap kira-kira 20,000 orang lagi yang tidak mendaftar untuk mengulang peperiksaan.

ARTIKEL BERKAITAN:
Nasib pelajar tidak ambil SPM 2022 tidak dipinggir - KPM
SPM 2022 guna sistem gred pemarkahan sedia ada
Daftar SPM 2023 calon persendirian dilanjutkan hingga 30 Jun 2023
SPM 2022: 1,106 calon di Perak tidak hadir
KPM siasat, kaji pelajar tidak ambil SPM tahun lalu
KPM teliti faktor penyebab ketidakhadiran pelajar duduki SPM - Fadhlina

Media Baharu