fb fb fb fb fb

Pelepasan cukai individu dalam SSPN dilanjutkan

(Foto Fail)

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelepasan cukai tersebut akan dilaksanakan sehingga tahun 2024.

"Saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun 2024.

"Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil Kerajaan sekitar RM250 juta setahun dan memanfaatkan lebih 400,000 pembayar cukai," katanya.

(Kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000
untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional, SSPN/Foto Fail)

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) di Dewan Negara.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, menyatakan mulai Tahun Taksiran 2023, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu hingga RM8,000.

SJKP, dana pembiayaan ditingkatkan kepada RM5 bilion

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan mulai 1 April 2023, Skim Jaminan Kredit Perumahan, SJKP akan diperluas merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka.

Untuk itu, dana pembiayaannya ditingkatkan kepada RM5 bilion.

"Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion ringgit untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutamanya mereka yang tidak berpendapatan tetap.

"Mulai 1 April 2023, Kerajaan Malaysia akan meluaskan sasaran SJKP bagi merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama mereka. Ikhtiar ini akan memanfaatkan khususnya isi rumah dalam kategori B40 dan M40," menurut Anwar.

Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dengan pengecualian sepenuhnya duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah danĀ pengecualian duti setem 75 peratus untuk rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta.

Media Baharu