fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke China, jangka bawa pelaburan besar kepada negara

BEIJING, 29 Mac- Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bakal menyaksikan pengumuman jumlah pelaburan besar negara itu ke Malaysia.

Ini termasuk 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan dimeterai meliputi aspek perdagangan, pelaburan dan pertanian.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Perdana Menteri dijadual akan terlibat dalam Mesyuarat Meja Bulat bersama pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada 1 April nanti.

Diikuti Forum Perniagaan yang membabitkan 1,000 peserta, sekali gus dijadual memeterai 11 MoU antara syarikat Malaysia-China. 
 
Tiga lagi memorandum akan ditandatangani menerusi Mesyuarat Dua Hala Malaysia-China bersama Tuan Yang Terutama Premier Li Qiang.

"Perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada pemerincian langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Dijangkakan bahawa mereka akan menyentuh projek-projek tertentu yang akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya pada sidang media, di sini.

(Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir/Foto Bernama)

Lawatan kali ini juga disifatkan sebagai bersejarah dengan mengambil kira undangan yang diterima Perdana Menteri oleh Kerajaan China; bertujuan memupuk hubungan rapat dengan Kerajaan Perpaduan.

Malah gagasan Malaysia Madani turut senada dengan hasrat Presiden Xi Jinping yang tekad membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Di samping itu, dengan keberadaan sejumlah besar tokoh-tokoh korporat dari Malaysia dan China, lawatan itu juga telah berjaya mengukuhkan lagi jalinan perdagangan di antara kedua-dua negara," tambah Zambry.

Perdana Menteri dijadual tiba di Beijing esok, kira-kira 4.30 petang.

Program pertama beliau merupakan Majlis Iftar, melibatkan lebih 200 rakyat Malaysia di China dan deligasi Malaysia.

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar semenjak 2009.  

Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 telah mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion. 

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021. 

Jumlah eksport ke China pula meningkat sebanyak 9.4 peratus berjumlah RM210.62 bilion (USD47.84 billion), manakala, jumlah import daripada China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus berjumlah RM276.50 billion (USD62.78 billion), berbanding tahun sebelumnya.  

Manakala nilai pelaburan daripada China bernilai RM9.6 billion (USD2.2 billion) yang telah membuka peluang-peluang pekerjaan kepada 6,193 orang pada tahun 2022.

Laporan oleh wartawan Syamimi Saripan

Media Baharu