fb fb fb fb fb

Mogok doktor kontrak, perlu dipertimbang - Dr. Noor Hisham

(Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Penganjuran mogok boleh menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas selama mana ianya dianjurkan dan tindakan itu perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menyatakan bahawa mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik dan permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara yang lebih berhemah.

Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media mengulas mogok doktor kontrak yang dikatakan bakal berlangsung dari 3 hingga 5 April ini.

“Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan kritikal, terutama kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat. Maka saya berpandangan mogok terutama secara tidak terancang, mungkin bukan suatu jalan penyelesaian yang terbaik terhadap apa jua permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain”, kata Dr. Noor Hisham.

Tambahnya, buat masa ini Kementerian Kesihatan hanya menerima hebahan mengenai mogok tersebut melalui saluran media sosial sahaja.

“Kementerian ini tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok tersebut,” katanya.


(Foto hiasan)

Dr. Noor Hisham juga mahu perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor kritikal, begitu juga bagi petugas kesihatan disebabkan kompleksiti sektor tersebut, serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka.

“Umum diketahui bahawa sebahagian besarnya adalah bawah Sektor Awam, dan Perkhidmatan Kesihatan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada kemakmuran serta pertumbuhan ekonomi negara,”katanya.

Justeru, tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan. Ini jelas menunjukkan bahawa kesihatan adalah salah satu daripada hak asasi manusia, dan perkhidmatan kesihatan perlu terus diutamakan.

Mengambil contoh pandemik COVID-19, Dr. Noor Hisham berkata, COVID-19 telah mengajar kita bahawa tanpa sistem kesihatan yang berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak tersebut dengan baik dan orang ramai tidak mungkin dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti kebiasaan.

“Kemakmuran yang kita kecapi kini sudah tentu banyak disumbangkan oleh pakar dan anggota kesihatan dalam pelbagai peringkat sama ada dalam sektor pencegahan atau kesihatan awam mahupun yang bertugas di sektor klinikal dan penyelidikan.

“Masing-masing mereka mempunyai peranan yang sangat penting. Berkat pengorbanan yang dilakukan oleh anggota kesihatan sebelum ini, rakyat dapat menjalankan pekerjaan mereka semula, kita dapat berkumpul beramai-ramai bersama keluarga dan kenalan, Ramadan dapat disambut seperti biasa, kegembiraan perayaan dapat dirasai dan pelbagai lagi”, katanya.

Beliau juga mahu, perkhidmatan kesihatan seharusnya perlu terus berdaya tahan kerana cabaran akan datang termasuk risiko krisis atau pandemik mungkin lebih hebat dan kompleks daripada apa yang dilalui sebelum ini.

Atas perkara itu, petugas kesihatan kata Dr. Noor Hisham yang merupakan aset utama perkhidmatan kesihatan perlu terus diberi perhatian, termasuk imbuhan sewajarnya buat perkhidmatan mereka.

“Kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respon atau bertindak terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan. Antaranya mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

“Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik. Saya percaya, Kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara,” menurut kenyataan tersebut.

Media Baharu