fb fb fb fb fb

Pelebaran jalan di Lebuh Raya Utara Selatan di Johor diperluaskan lagi

Datuk Seri Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 31 Mac- Projek pelebaran jalan di Lebuh Raya Utara Selatan di Johor, bakal diperluaskan lagi. Ia melibatkan bagi laluan Sedenak hingga ke Ayer Hitam dan melibatkan jarak sejauh 37 kilometer.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perluasan projek itu melibatkan tambahan jarak 17 kilometer daripada jarak asal iaitu 20 kilometer. Sebelum ini ia melibatkan dari Sedenak ke Simpang Renggam.

Keputusan itu dibuat selepas penilaian nilai yang dijalankan pihaknya. Peruntukan sebanyak RM931 juta yang diterima bagi projek itu, mampu memperluas pelebaran jalan di lebuh raya itu, hingga ke Ayer Hitam.

"Suatu ketika dahulu negara India belajar dari Malaysia untuk membina lebuh raya, sekarang kita perlu belajar dari India bagaimana negara itu mampu membina empat lorong sejauh 75 kilometer dalam masa 105 jam.

"Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya India," katanya semasa melakukan lawatan kerja ke JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Johor, di sini.

Ahmad Maslan memaklumkan bagi laluan Senai Utara hingga Sedenak, pelebaran jalan akan melibatkan kos sebanyak RM525 juta, dengan jarak 21 kilometer.

Kesemua projek berkenaan akan bermula, pada tahun ini, dengan sasaran keseluruhan, pelebaran jalan dari Senai Utara hingga Yong Peng Utara.

Selain itu, beliau turut menyeru Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor untuk mencontohi pencapaian negara India, yang mampu membina lebuh raya dalam tempoh yang singkat.

Dalam pada itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dipertanggungjawabkan, untuk melaksanakan 121 projek persekutuan, melibatkan peruntukan RM2.673 billion.

Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 44 projek dalam fasa pra kontrak manakala 77 projek dalam fasa pembinaan.

JKR Johor juga akan melaksanakan 40 projek negeri, melibatkan nilai RM500.2 juta dengan satu projek telah siap, manakala 28 projek dalam fasa pra kontrak, dan 11 projek dalam fasa pembinaan.

Beliau telah mengarahkan kesemua projek berkenaan untuk dijalankan dengan kadar segera.

"Saya gembira apabila difahamkan SK Scientex Pasir Gudang, mengunakan konkrit modular, bangunan empat tingkat. Jika biasa 18 bulan, tapi insya-Allah dijangka siap dalam lapan bulan. Ini satu perkara baru dalam industri pembinaan negara kita," katanya.

Selain itu, JKR Johor turut memberi fokus kepada beberapa projek lain antaranya naik taraf persimpangan bertingkat Perling ke susur naik lebuh raya utara selatan, di Johor Bahru, melibatkan kos RM301.5 juta.

Bagi jalan Kota Tinggi-Mersing ia melibatkan kos RM120.4 juta, serta pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Jalan Felda Nitar Mersing, ke Jalan Mohd Aris, Mersing, dengan kos RM130 juta.

Beberapa projek juga sedang dalam pembinaan, antaranya naik taraf Jalan Kota Tinggi, dengan kos RM5 juta, dan naik taraf bekalan utama Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, RM129 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI