fb fb fb fb fb

Pelbagai infrastruktur dijangka siap menjelang Sarawak jadi tuan rumah bersama Sukan SEA

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg / FOTO FAIL BERNAMA

SIBU, 31 Ogos- Langkah Sarawak yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA adalah seiring dengan pembangunan pelbagai fasiliti dan kemudahan di negeri itu.

Menurut Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 2027 kelak beliau yakin infrastruktur udara khususnya syarikat penerbangan Sarawak sendiri sudah memulakan operasi untuk memudahkan lagi pergerakan masuk dan keluar Sarawak.

“Selain itu, sistem pengangkutan awam di Kuching, iaitu ART, juga sudah beroperasi untuk memudahkan pergerakan di sekitar bandaraya Kuching.

“Di samping itu, saya yakin kemudahan sukan telah siap dinaik taraf mengikut piawaian antarabangsa supaya Sarawak boleh menjadi tuan rumah yang sudah cukup bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA,” katanya.

Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tawaran Sarawak untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA pada 2027 dengan anggaran kos RM350 juta daripada RM700 juta keseluruhan.

Ujarnya, beliau bersyukur kerana Sarawak sebuah negeri yang aman dan rakyatnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan walaupun berlainan agama dan bangsa.

Jelasnya, potensi Sarawak untuk menjadi negeri ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 amat cerah dan semua rakyat harus berusaha dan berkerjasama untuk merealisasikan impian tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE