
KUALA NERUS, 27 Mac – Langkah kerajaan dalam pelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mempunyai asas kukuh dari sudut ekonomi selain sebagai langkah awal kerajaan untuk menjaga kestabilan negara.
- Lebihan peruntukan boleh disalurkan kepada pendidikan, kesihatan dan bantuan bersasar untuk golongan benar-benar memerlukan.
- Pengurangan subsidi memberi tekanan kepada B40 dan M40, meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli; perlu bantuan bersasar.
- Inisiatif ini menggalakkan penggunaan sumber lebih cekap, tingkah laku berjimat dan kelestarian demi manfaat jangka panjang.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Azlina Abd Aziz berkata, pelarasan sementara kuota tersebut merupakan salah satu mekanisme yang boleh membantu tanpa mengetepikan kebajikan rakyat.
Apabila pelarasan dilakukan, lebihan peruntukan boleh disalurkan kepada sektor lebih kritikal seperti pendidikan, kesihatan serta bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan
“Langkah ini boleh membantu memastikan ekonomi negara kekal stabil dalam jangka panjang. Walaupun ia dilihat sebagai langkah yang rasional dalam keadaan semasa, namun ia juga agak sensitif, terutamanya dari segi penerimaan rakyat.
“Kesan langsung terhadap ekonomi domestik tidak boleh diabaikan. Apabila subsidi dikurangkan, kos penggunaan petrol akan meningkat bagi sebahagian rakyat. Ini amat dirasai oleh golongan seperti B40 dan M40.
“Untuk jangka masa pendek, kenaikan ini mungkin tidak begitu besar pada peringkat awal, tetapi ia tetap memberi tekanan tambahan kepada kos sara hidup. Apabila kos sara hidup meningkat, kuasa beli rakyat juga akan semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Azlina melihat inisiatif berkenaan mampu menggalakkan penggunaan sumber secara lebih cekap serta mengubah tingkah laku pengguna ke arah penjimatan dan kelestarian.
Walaupun kerajaan memaklumkan sekitar 90 peratus rakyat tidak terjejas, perhatian perlu diberikan kepada baki 10 peratus yang mungkin menerima kesan besar daripada perubahan tersebut. Golongan itu perlu dikenal pasti dan dibantu secara lebih bersasar supaya keseimbangan antara kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dicapai
“Dalam konteks positif, langkah ini boleh dilihat sebagai usaha ke arah penggunaan sumber yang lebih cekap. Kita sedia maklum bahawa petrol serta minyak dan gas merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui.
“Apabila harga minyak mencerminkan kos sebenar tanpa subsidi, pengguna akan lebih cenderung untuk berjimat cermat serta merancang perbelanjaan dengan lebih baik. Perubahan ini akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kerana tingkah laku pengguna yang lebih berhemah dapat menyumbang kepada penggunaan yang lebih lestari pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun pemahaman jelas dan penyesuaian gaya hidup dalam menyokong langkah awal kerajaan, ia boleh memberi manfaat dalam jangka panjang. Pelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan akan bermula pada 1 April ini dan ia dikekalkan pada harga RM1.99 seliter.