Pelarasan gaji penjawat awam tingkatkan kutipan bayaran balik pinjaman ANGKASA

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (tengah) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pelarasan gaji penjawat awam pada awal tahun ini mendorong peningkatan bayaran balik pinjaman yang diuruskan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

RINGKASAN BERITA AI
  • ANGKASA sasarkan potongan gaji diuruskan meningkat kira-kira RM1.5 bilion dari sekitar RM1.3 bilion.
  • Fasa kedua pelarasan gaji melalui SSPA mendorong penjawat awam membuat pinjaman baharu dengan nilai lebih tinggi.
  • Potongan pertama bagi pinjaman baharu bermula Februari dan menunjukkan peningkatan kutipan bayaran balik ANGKASA.
  • ANGKASA jangka trend meningkat berterusan menjelang musim perayaan, ingatkan penjawat awam elak pinjaman tidak sah dan pastikan pemberi berdaftar.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA menyasarkan jumlah potongan gaji yang diuruskan tahun ini meningkat kepada kira-kira RM1.5 bilion berbanding sekitar RM1.3 bilion sebelum ini.

Beliau berkata fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut mendorong penjawat awam membuat pinjaman baharu dengan nilai lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Pada Februari, potongan pertama bagi pinjaman baharu sudah mula dibuat. Ketika itu kita dapat melihat peningkatan dalam kutipan bayaran balik yang diuruskan ANGKASA.

“Ini membuktikan bahawa pinjaman yang dibuat oleh penjawat awam telah meningkat, bukan sahaja dari segi jumlah peminjam tetapi juga nilai pinjaman yang dibuat oleh individu,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut beliau, trend itu dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, khususnya menjelang musim perayaan apabila permohonan pinjaman lazimnya meningkat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penjawat awam supaya berhati-hati terhadap tawaran pinjaman yang tidak sah serta memastikan institusi pemberi pinjaman berdaftar bagi mengelakkan penipuan atau potongan gaji yang tidak sah.