Pelanjutan lesen Lynas tertakluk syarat ketat – MOSTI

FOTO FAIL / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Keputusan kerajaan mempertimbangkan pelanjutan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd selama 10 tahun dibuat selepas penilaian teknikal dan perundangan menyeluruh oleh Jabatan Tenaga Atom.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelanjutan lesen 10 tahun selepas penilaian teknikal dan perundangan menyeluruh oleh Jabatan Tenaga Atom.
  • Keutamaan diberikan kepada keselamatan radiologi, kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.
  • Lesen disertakan kawalan berjadual, milestone jelas dan syarat teknikal untuk kurangkan serta hentikan penghasilan residu WLP.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata, aspek keselamatan radiologi, kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar kekal menjadi keutamaan dalam sebarang pertimbangan berkaitan lesen berkenaan.

“Pelanjutan ini bukan bersifat automatik, sebaliknya disertakan dengan kawalan berjadual serta ‘milestone’ yang jelas dan syarat teknikal bagi mengurangkan dan seterusnya menghentikan penghasilan residu Water Leach Purification (WLP),” katanya.

Tambah beliau, sebarang kelulusan hanya akan diberikan sekiranya semua keperluan keselamatan dan pematuhan peraturan dipenuhi sepenuhnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad berhubung justifikasi kerajaan melanjutkan lesen Lynas di Dewan Negara hari ini.