
ALOR GAJAH, 17 Januari– Sebarang pelanggaran disiplin dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disiasat dan diadili melalui prosedur dalaman yang ketat.
- Pelanggaran disiplin disiasat dan diadili mengikut prosedur dalaman ketat sebelum dibawa ke Mahkamah Tentera.
- Jawatankuasa siasatan dalaman menjalankan tindakan awal terhadap kes disiplin.
- Setiap pegawai dan anggota diberi hak untuk menjawab tuduhan sebelum hukuman.
- Adly menegaskan sokongan dan penghargaan terhadap pengorbanan anggota ATM walau wujud pihak yang melanggar peraturan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, tindakan telah diambil melalui jawatankuasa siasatan dalaman sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tentera.
Beliau menegaskan, setiap pegawai dan anggota terlibat turut dijamin hak untuk menjawab tuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan.
Adly turut meminta rakyat terus menghargai pengorbanan anggota ATM yang sentiasa komited menjaga keselamatan negara.
“Mungkin terdapat segelintir pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan, dan mereka wajar dikenakan tindakan. Namun, kepercayaan kami terhadap anggota pertahanan tidak pernah berbelah bahagi.”
“Saya ingin mengingatkan rakyat bahawa mereka telah terbukti menjaga keamanan dan keselamatan negara. Pengorbanan yang dicurahkan wajar dihargai kerana mereka juga mempunyai keluarga dan tanggungjawab.”
“Ramai dalam kalangan mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga dan bahkan nyawa demi negara, dan pengorbanan itu perlu kita hargai,” kata Adly kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada pelancaran hiasan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat mengesahkan 15 pegawai dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial.