fb fb fb fb fb

Pelan Strategik Kawalan Diabetes akan dilancar tahun depan

FOTO HIASAN

KANGAR, 28 November - Pelan Strategik Kawalan Diabetes akan dilancarkan tahun depan sebagai usaha mengawal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ismuni Bohari berkata pelan yang kini berada di peringkat akhir deraf antaranya memfokuskan kepada penglibatan golongan kurang berkemampuan dan rumah ibadat untuk pelaksanaan pemeriksaan kesihatan.

"Mentaliti penduduk kampung, mereka takut akan pemeriksaan kesihatan, mereka lebih cenderung untuk tidak mengetahui masalah kesihatan yang mereka hidapi supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media Kesihatan dan Rakan Strategik Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, di sini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Ismuni berkata berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 melibatkan penduduk dewasa berusia 18 tahun dan ke atas mendapati, Perlis merupakan negeri dengan bilangan penghidap diabetes kedua tertinggi di Malaysia iaitu 32.7 peratus.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai melakukan saringan awal kesihatan untuk mengelakkan daripada penyakit tiga serangkai termasuk diabetes selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Dr Ismuni berkata sebanyak 3,241 golongan asnaf melibatkan 83 kampung di Perlis mendapat manfaat saringan kesihatan percuma melalui program komuniti khas anjuran jabatannya dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Saringan kesihatan percuma itu boleh memberikan gambaran kesihatan terkini bagi mengenal pasti penyakit tidak berjangkit selain meneroka isu dihadapi kumpulan kurang berkemampuan mengenai tahap kesihatan terutamanya penyakit tiga serangkai," katanya.

TETITIA YUSOFF