fb fb fb fb fb

Pelaksanaan VEP tidak jejas Johor - MOT

Anthony Loke Siew Fook

JOHOR BAHRU, 3 Oktober- Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi jaminan, sebarang isu berhubung pelaksanaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) terhadap kenderaan-kenderaan Singapura, tidak akan menjejaskan reputasi negeri Johor.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, proses implementasi VEP kini lebih mudah, dan mesra pengguna.

"Saya sudah memberi jaminan kepada (Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi) bahawa kami tahu cara untuk mempermudahkan proses ini bagi membantu mempercepatkan permohonan.

"Proses ini telah diperbaiki, dan keperluan telah dipendekkan dan dipermudahkan," katanya pada sidang media Pelaksanaan Penguatkuasaan VEP di Sempadan Darat Malaysia-Singapura di sini.

Pemilik kenderaan hanya memerlukan tiga dokumen, untuk mendaftar VEP, iaitu sijil hak milik (COE) kenderaan, insurans dan maklumat nombor kad pengenalan.

Sebelum ini Onn Hafiz Ghazi meluahkan kekecewaan berhubung pengunjung terpaksa berbaris panjang tanpa khemah di pusat pemasangan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) VEP.

Reaksi berkenaan diluahkan sempena lawatan mengejut beliau ke pusat berkenaan, di Danga Bay, Johor Bahru pada 27 September lalu.

Dalam perkembangan sama MOT telah mengeluarkan sebanyak 112,658 tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) hingga 30 September lalu.

Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah itu 75,412 tag telah dipasang dan diaktifkan pada kenderaan berdaftar di Singapura, manakala 37,246 lagi, belum diaktifkan.

"Cuma mereka yang masih belum membuat apa-apa permohonan, kita akan keluarkan notis. Ia bukan saman, tetapi notis.

"Kita harapkan supaya penguatkuasaan dan pelaksanaan VEP ini kita lancarkan dengan tertib tanpa menjejaskan perjalanan keluar masuk pemilik kenderaan Singapura," katanya.

Dalam pada itu, 50 notis peringatan dikeluarkan kepada lima kenderaan Singapura, kerana melalui pintu masuk negara, tanpa pendaftaran VEP.

Penguatkuasaan itu dijalankan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri, pada satu dan dua Oktober lalu.

Pada masa sama Anthony menggesa pemilik kenderaan Singapura untuk mendaftar dalam sistem VEP, sebelum melalui sempadan kedua-dua negara.

Selain itu pihaknya juga memberi jaminan, berkenaan keselamatan maklumat peribadi, semasa mendaftar sistem tersebut.

"Pertama sekali, kami juga mempunyai undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan maklumat yang diminta oleh pihak berkuasa Malaysia, sama seperti yang diminta oleh pihak berkuasa Singapura.

"Anda (pemandu) perlu adil kepada kami. Jika kereta Malaysia masuk ke Singapura, akan ada banyak perkara ditanyaka, begitu juga rakyat Singapura yang datang ke Malaysia. Saya dikir semua pihak perlu menerima perkara ini," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI