fb fb fb fb fb

Pelaksanaan semula dasar kabotaj, suburkan industri perkapalan di Sarawak

Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 22 Jun- Pengecualian dasar kabotaj yang dilaksanakan pada 2017, tidak begitu membantu dalam menurunkan kos barangan antara Semenanjung dan Sabah Sarawak.

Sebaliknya, ia telah menjejaskan syarikat perkapalan tempatan daripada pelbagai faktor hingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menghentikan operasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata susulan isu berkenaan, kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula dasar itu untuk Sarawak bagi meningkatkan daya saing.

"Apabila perkhidmatan domestik ini dibuka kepada syarikat-syarikat perkapalan asing, banyak syarikat-syarikat perkapalan tempatan tidak dapat berdaya saing. Maka, banyak syarikat perkapalan 'gulung tikar'."

"Jadi, kita telah melihat bahawa 'fleet' dalam negara kita dan syarikat perkapalan yang ada dalam domestik ini menurun. Itu kesan buruk apabila kita mengecualikan dasar kabotaj untuk perkhidmatan domestik," kata Anthony kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelepasan Ulung M.V MTT Bitangor milik MTT Shipping, di sini.

Pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan melaksanakan semula pengecualian dasar kabotaj untuk kapal asing yang terlibat dalam semua kerja membaiki kabel dasar laut.

Langkah tersebut diambil atas permintaan Kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017.

Sementara itu, industri perkapalan yang kukuh mampu menjana pertumbuhan ekonomi sekali gus mengurangkan kebarangkalian impak krisis terhadap negara.

Anthony Loke berkata pemilikan lebih banyak kapal berkapasiti 1800TEU dilihat penting bagi mengekalkan rantaian bekalan.

"Umpamanya, dalam era pandemik COVID-19. Apabila kerajaan ada undang-undang darurat, maka aset-aset yang dimiliki oleh syarikat-syarikat perkapalan ini ia diwajibkan untuk memastikan bekalan tempatan dapat dibuat terlebih dahulu."

"Pelbagai tempat ada konflik, ada isu terutama di Laut Merah. Banyak gangguan berlaku di laluan perkapalan dunia dan di pelabuhan-pelabuhan antarabangsa, seperti kesesakan yang luar biasa," tambah Loke.

Mengulas lanjut, beliau menyambut baik langkah MTT Shipping Sdn Bhd untuk membuat pelaburan bagi 21 kapal kontena baharu, termasuk MTT Bintangor yang mampu membawa kapasiti 1800 TEU.

Ia bukan sahaja membuktikan pertumbuhan syarikat berkenaan malah mengukuhkan sektor perkapalan negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM