KUALA LUMPUR, 14 November – Penggunaan petrol Euro 5 yang akan mula dilaksanakan pada September tahun hadapan tidak akan meningkatkan harga bahan api.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata harga petrol akan bergantung kepada sistem yang sedang diterapkan pada waktu tersebut, termasuk penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka berlaku pada pertengahan tahun 2025.
"Kita ada setiap beberapa tahun ini, biasanya kita akan buat naik taraf spesifikasi bahan api dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, diesel baru saja dinaik taraf kepada Euro 5. Pelaburan bagi naik taraf ini perlu ditanggung oleh syarikat minyak, bukan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions di Wangsa Maju, di sini.