fb fb fb fb fb

Pelarasan gaji penjawat awam dilaksana secara berfasa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 16 Ogos -Bermula Disember ini, penjawat awam bagi Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan Profesional akan menerima pelarasan gaji baharu sebanyak 15% daripada gaji asas semasa, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima pelarasan gaji sebanyak 7%.

Khabar gembira yang dinanti-nanti kira-kira 1.6 juta penjawat awam itu, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdan Menteri Perkhidmatan Awam ke-19, (MAPPA) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC).

“Ini juga satu langkah berani kerana KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan rakan-rakannya naik 7% manakala di bawah naik antara 15% sehingga 42%,” kata Anwar ketika menyampaikan ucapan beliau pada MAPPA bertemakan 'Perkhidmatan Awam Madani'.

Namun, menurut Perdana Menteri, mengambil kira kedudukan ekonomi negara yang mencabar, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara bertahap atau berfasa dan hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen Skim Saraan Perkhidmatan Awam, (SSPA) sahaja.

“Maknanya pada 1 Disember 2024, Fasa 1; 1 Januari 2026 Fasa 2,.. naik-naik tetapi kita naik secara berfasa kerana tidak mahu ada tekanan inflasi , kalau naik kemudian ada tekanan inflasi, pendapatan sebenar akan jauh kurang,” jelas Perdana Menteri.

Bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, pelarasan gaji adalah sebanyak 8% pada Fasa 1 dan 7% pada Fasa 2. Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pelarasan gaji adalah 4% bagi Fasa 1 dan 3% bagi Fasa 2.

Tambahnya seperti penjawat awam yang sedang berkhidmat yang menerima penyelarasan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

Keseluruhan bagi julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8% hingga 42.7%, mengambil kira faedah berganda.

"Sebagai contoh, seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11, dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795.00 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115.00 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1. Semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Januari 2026, beliau akan menerima pelarasan sebanyak 7% menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327.00," kata Anwar.

Dalam aspek mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti, kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Anwar berkata, seiring dengan peningkatan syarat lantikan tersebut, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan.

Perkara itu akan menggalakkan penugasan berbilang dan kemahiran berbilang dalam kalangan pegawai sebagai pulangan kepada Kerajaan dan penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam dapat dioptimakan.

"Skim perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain. Kita warisi dah 60 tahun kadang-kadang jabatan yang sudah tidak releven kita kekalkan juga.

"Agensi-agensi yang puluhan kita samakan sebagai contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek selain daripada tv itu masih dikekalkan dalam jawatan. Jadi hal ini harus diseragamkan bukan maknanya ditiadakan petugas sedia ada tetapi supaya tidak ada pembaziran," kata Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan juga akan menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam.

Syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan pula akan dipinda bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

Menurut Perdana Menteri lagi, kali terkahir pelarasan gaji dilakukan pada tahun 2012, dan terkini jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

TETITIA YUSOFF