KUALA LUMPUR, 1 Januari- Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 yang berkuat kuasa hari ini, adalah usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Syamsul Herman Mohammad Afandi berkata, penguatkuasaan akta ini dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon ke udara.
"Jadi diharapkan dengan pelaksanaan akta ini, ia akan dapat melihat kesan dari segi dari pengurangan karbon itu sendiri ke termosfera hasil daripada mana-mana organisasi terlibat dalam akta ini.
"Perkara kedua adalah mengenai sosial tadi dan kita tahu apabila dalam akta ini ada keperluan untuk mewujudkan perjawatan baharu iaitu sebagai pengurus tenaga dan juruaudit tenaga," katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu dengan penjawatan baharu pada peringkat penyediaan perkhidmatan ia akan menampung keperluan dalam mewujudkan silibus berkaitan pengurusan tenaga di peringkat universiti mahupun Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sebelum ini pelaksanaan Akta 861 terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan diwartakan pada 26 November lepas oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menjadikan Malaysia sebagai negara lebih mampan tenaga.