
BANDARAYA MELAKA, 7 Mac – Pelajar yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti di Asia Barat dinasihat supaya menangguhkan hasrat berkenaan buat sementara waktu.
- Pelajar dinasihat sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini.
- Situasi turut menjejaskan mereka yang merancang menunaikan umrah, dengan banyak penerbangan ke beberapa negara terjejas.
- Ibu bapa boleh mendapatkan perkembangan pelajar melalui Wisma Putra.
- Kementerian telah mengenal pasti, menghubungi dan memberi tatacara serta nasihat kepada pelajar di universiti Asia Barat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, mereka juga dinasihat supaya sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing untuk mendapatkan perkembangan terkini, selain mendapatkan nasihat daripada kementeriannya.
“Saya rasa keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pelajar, malah ramai yang merancang untuk menunaikan umrah juga terpaksa menangguhkan perjalanan. Terutama penerbangan ke negara-negara berkenaan, khususnya yang melibatkan Emiriah Arab Bersatu, juga banyak yang tidak dapat diteruskan.
“Bagi pelajar yang bakal ke sana, sama ada yang baru menerima tawaran atau yang ingin menyambung pengajian, situasi ketika ini masih belum begitu kondusif. Mereka dinasihatkan supaya sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar KPT Bersama Timbalan Menteri KPT di Bandaraya Melaka.
Adam Adli berkata, ibu bapa pelajar di universiti-universiti Asia Barat boleh mendapatkan perkembangan anak-anak melalui Wisma Putra.
Katanya, Kementeriannya juga telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang berada di sana serta mereka juga telah dihubungi dan diberi nasihat tatacara bagi menghadapi situasi yang bakal berlaku.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti 1,762 pelajar di Jordan, 135 di Arab Saudi, 21 orang di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait (9 orang), Iran (6 orang) dan Qatar (3) pelajar.