fb fb fb fb fb

Pelaburan pusat logistik moden diperkasa, lonjak sektor pengangkutan negara

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto Bernama

SHAH ALAM, 12 Februari – Kerajaan menggalakkan pelaburan dalam pembangunan pusat logistik moden bagi memperkasa sektor logistik negara, sekali gus merealisasikan visi menjadikan Malaysia sebagai hab logistik serantau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan modenisasi sektor itu amat penting dalam meningkatkan kecekapan operasi, dengan memperluaskan penggunaan teknologi dan automasi.

"Sudah tentu ini akan merancakkan lagi sektor perdagangan, pengangkutan serta logistik. Ia merupakan sektor yang berpotensi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, dan kita menggalakkan pelaburan baharu yang lebih berinsentifkan teknologi.

"Gudang-gudang moden yang ingin dibina akan berkonsepkan ‘smart logistics’ atau ‘smart warehouse’, di mana lebih banyak teknologi seperti mesin robotik digunakan dalam proses mengangkut dan memunggah barangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Hab Logistik Exio di Elmina, di sini.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan turut menggalakkan pembangunan hab logistik di negeri-negeri lain, termasuk di Pantai Timur, dengan memanfaatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Lembah Klang dengan wilayah berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, usaha sama antara syarikat IJM dan FMM Elmina menyaksikan pembinaan Exio Logistics Hub, sebuah pusat logistik canggih yang mampu menampung lebih 100,000 ruang palet dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 240 palet sejam.

Selain itu, hab tersebut juga turut dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) serta Kenderaan Pandu Automatik (AGV) bagi meningkatkan kecekapan operasi logistik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN