NILAI, 1 Mac- Seorang pekerja Pos Aviation Kargo maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri berhampiran lampu isyarat Hospital Aurelius Nilai di sini pada 6.55 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Penguasa Polis (SP) Abdul Malik Hasim berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa MPV dipandu lelaki berumur 26 tahun itu sedang bergerak di lorong kanan telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang lampu dan batu pembahagi jalan di tengah jalan.
Beliau berkata apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu berpusing dan masuk ke lorong kiri lalu dilanggar oleh lori dari arah Sepang ke Nilai.
"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.