fb fb fb fb fb

Pekerja pembersihan maut diserang gajah liar

Foto orang awam

MERSING, 26 September- Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas diserang oleh seekor gajah liar yang mengamuk di kawasan hutan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5, Mersing.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pada pukul 11.00 pagi, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai insiden tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Sharif Shai Sharif Mondoi, dalam kenyataannya berkata, dua pekerja pembersihan tersebut masuk ke hutan berkenaan dan cuba menghalau gajah liar daripada mendekati kawasan sekolah.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa diserang, menyebabkan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di leher dan dada kiri. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

"Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di kepala, pendarahan dalam perut serta patah tulang pinggul," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM