fb fb fb fb fb

Pekerja maut tersepit dalam mesin pengisar batu

Pasukan bomba membawa keluar mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian/ JBPM Sarawak

KUCHING, 7 Oktober- Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam mesin pengisar batu di sebuah tapak kerja di Jalan Express Way, di sini, hari ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.40 pagi dan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi dengan satu jentera FRT.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa dikenal pasti sebagai Syahmizi Abu Bakar, 37, didapati tersepit di bahagian kipas mesin pengisar batu.

"Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan membuka bahagian nut pada mesin namun gagal menarik keluar mangsa," menurut JBPM Sarawak dalam kenyataan.

Setelah berusaha menolak bahagian kipas mesin bersama pekerja di lokasi, mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan sekitarpukul 11.33 pagi.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA