LABUAN,17 Februari-Fasiliti pejabat sementara bagi pengoperasian pertukaran kru minyak dan gas di Asian Supply Base Sdn Bhd telah siap sepenuhnya bagi keperluan aktiviti keluar dan masuk kru serta pemeriksaan dokumen yang beroperasi di perairan Sabah dan Labuan.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata syarikat logistik itu bersiap sedia dan telah menyediakan kelengkapan fasiliti bagi agensi dan jabatan yang terlibat khususnya Jabatan Imigresen.
Beliau berkata pengoperasian itu perlu dilakukan segera selewat-lewatnya Mac ini kerana aktiviti mengerudi minyak dan gas yang dilaksanakan oleh Petronas akan memulakan kerja-kerja berkenaan pada awal April ini.
Jelasnya pengoperasian pejabat itu akan memudahkan kelancaran proses pertukaran kru yang dilakukan.
“Pada sidang parlimen 26 haribulan nanti saya akan bangkitkan lagi isu ini di parlimen supaya pihak Putrajaya melihat dengan serius mempercepatkan perlaksanaan kemudahan crew change di Labuan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Petronas bermakna April dia hendak temporary facility ini beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pejabat berkenaan.
Sementara itu perkhidmatan pertukaran kru yang dilaksanakan syarikat logistik minyak dan gas itu memberikan kesan yang positif kepada Labuan dan mampu melonjakkan kembali ekonomi pulau bebas cukai ini.
Ini kerana aktiviti tersebut membantu meningkatkan perkembangan dalam sektor perhotelan, restoren dan kedai makan serta membantu para peniaga di sekitar pulau ini.
Di samping perlaksanaan aktiviti pertukaran kru itu memperlihatkan kerajaan Madani amat prihatin untuk membantu Labuan setanding ditempat lain dalam memajukan sektor minyak dan gas.