fb fb fb fb fb

Pejabat pasport Putrajaya dan Kuala Lumpur sesak

PUTRAJAYA, 12 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum kesesakan luar biasa yang terjadi di pejabat-pejabat permohonan pasport di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada pagi ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, kehadiran luar biasa orang ramai di pejabat-pejabat pasport sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya ini disebabkan oleh penutupan pejabat-pejabat pasport di seluruh negeri Selangor kerana cuti umum dan cuti persekolahan yang bermula pada hari ini.


(Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud)

"Bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, dipohon supaya menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan dengan itu, Khairul menasihatkan supaya orang ramai berurusan ke pejabat-pejabat pasport di luar Lembah Kelang dan kurang sesak bagi urusan permohonan pasport.

"Antara pejabat-pejabat pasport berdekatan dan kurang kesesakan yang boleh menjadi alternatif adalah pejabat pasport di Seremban, Melaka, Cameron Highland, Raub, Kuala Langat, Kuala Kubu Bharu, Pengkalan Hulu, Mersing, Kukup dan Kangar," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Selain daripada itu, orang ramai juga dijemput untuk menyertai saluran telegram rasmi bagi urusan permohonan pasport untuk sebarang pertanyaan di pautan https://t.me/PejabatPasport.

Media Baharu