fb fb fb fb fb

Pegawai kanan polis disyaki terlibat rasuah, ditukar

Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 4 April- Seorang pegawai kanan polis yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah di sekitar ibu negara telah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu laporan penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang juga seorang Pegawai Turus dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur itu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

"Pegawai ni telah pun ditahan reman untuk dua kesalahan dalam tempoh lapan hari. Satu siasatan
bawah Seksyen 17. Selepas tamat tempoh remanakan ditahan sekali lagi bawah pengubahan wang haram (AMLA).

"Pegawai ini telah pun dibebaskan dengan jaminan pada Sabtu yang lepas. Belum ada keputusan, siasatan itu dijalankan oleh pihak SPRM," katanya sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di ibu negara.

Majlis Serah Terima Tugas itu melibatkan pelantikan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Lazim Ismail menggantikan Superintenden Ashari Abu Samah yang akan bertukar ke IPD Alor Gajah, Melaka.

Minggu lalu, seorang pegawai kanan dari IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM bersama wang lebih RM2 juta kerana disyaki melindungi aktiviti haram di ibu negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI