
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa mengumumkan pertukaran sembilan pegawai kanannya berkuat kuasa 16 Mac depan.
- PDRM mengumumkan pertukaran sembilan pegawai kanan berkuat kuasa 16 Mac.
- Beberapa pegawai dinaikkan pangkat memangku termasuk pelantikan ke jawatan Timbalan Pengarah dan Timbalan Ketua Polis.
- Pertukaran melibatkan penempatan semula dalam Cawangan Khas, JSJ, JSJK dan Agensi Kawalan Sempadan.
Setiausaha PDRM, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Abdul Rahman Kassim berkata, mendahului senarai ialah Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Azman Abd Razak yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman dengan memangku pangkat Pesuruhjaya Polis (CP).
Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Pertukaran turut melibatkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Hoo Chuan Huat yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat DCP, manakala jawatannya diambil alih oleh Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Johor, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zairi Badderul @ Badrol dengan memangku pangkat SAC.
Sementara itu, Ketua JSJ Melaka, ACP Zaihairul Idrus ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis dengan memangku pangkat SAC, manakala Ketua Penolong Pengarah (Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, ACP Amran Md Jusin dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) JSJK Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Turut terlibat ialah Penolong Pengarah (D3) Risikan/Operasi ATIPSOM JSJ Bukit Aman, ACP Fauzi Mohd Yusof yang dilantik sebagai Ketua Kawalan dan Risikan/Operasi (KKPS) ICQS Bukit Kayu Hitam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Ketua JSJN Perak, ACP Lee King Chuan yang bertukar ke AKPS sebagai Pengarah Bahagian Siasatan dan Pendakwaan dengan memangku pangkat SAC.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Penguasa Polis (Supt) Chua Kok Lian dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak dengan memangku pangkat ACP.