PDRM terima lebih 4.1 juta laporan sepanjang 2025

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 4,128,760 laporan membabitkan pelbagai kes dan aduan orang ramai sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • 467,388 laporan dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut sepanjang 2025.
  • PDRM tegaskan komitmen menerima setiap aduan dan mengambil tindakan sewajarnya.
  • Garis panduan dan penjelasan diedarkan kepada seluruh anggota untuk elakkan salah faham prosedur penerimaan laporan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 467,388 laporan telah dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas dakwaan terdapat balai polis enggan menerima laporan daripada orang awam yang tidak mematuhi etika pemakaian, beliau menegaskan PDRM sentiasa komited memastikan setiap aduan diterima dan diambil tindakan sewajarnya.

“Yang penting, saya nak maklum kita telah pun menyebarluaskan kepada kakitangan kita di semua peringkat dan kepada rakyat apa tindakan yang telah kita ambil. Sebab itu kita berharap rakyat faham dan tentunya pegawai-pegawai akan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, penjelasan dan garis panduan berkaitan turut dimaklumkan kepada seluruh anggota bagi memastikan tiada salah faham berhubung prosedur penerimaan laporan di balai polis.