
IPOH, 22 Januari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh keselamatan di sekolah menerusi pelaksanaan Inisiatif Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan kondusif.
- PDRM melaksanakan Inisiatif Pegawai Perhubungan Sekolah sejak 2018 untuk penghubung utama antara polis dan warga sekolah.
- Inisiatif bertujuan pencegahan jenayah, kesedaran undang-undang serta menangani buli, keganasan dan penyalahgunaan dadah.
- Keselamatan sekolah memerlukan kerjasama erat guru, ibu bapa, murid, komuniti dan pihak polis.
- PDRM komited memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan keberkesanan PPS di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PPS yang diperkenalkan pada 2018 berperanan sebagai penghubung utama antara pihak polis dan warga sekolah dalam usaha pencegahan jenayah serta peningkatan kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, aspek keselamatan sekolah tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa, murid, komuniti dan pihak polis.
“Hakikatnya, keselamatan sekolah tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat semua pihak bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat, kondusif dan sejahtera. PDRM memandang serius isu seperti buli, keganasan di sekolah, penyalahgunaan dadah, jenayah juvana serta pengaruh negatif media sosial yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata, PDRM memberi perhatian serius terhadap isu-isu berkenaan kerana ia berpotensi memberi kesan jangka panjang kepada pembentukan sahsiah dan masa depan pelajar.
Datuk Seri Mohd Khalid berkata demikian ketika berucap pada program Back To School Bersama Ketua Polis Negara di Sekolah Kebangsaan Bidor, Tapah.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan awal dalam membentuk disiplin, adab dan akhlak pelajar sejak di bangku sekolah.
Sehubungan itu, PDRM komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan pelaksanaan inisiatif PPS kekal relevan dan berkesan di seluruh negara.