KUALA LUMPUR, 22 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) beriltizam mempertingkat prestasi perkhidmatan kepada masyarakat sempena sambutan Hari Polis ke-217, 25 Mac depan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya akan memperkemas tatakelola pasukan di setiap peringkat dan jabatan demi menjaga keharmonian negara.
"Memang ada sedikit kekurangan dan itu normal, kita perbaiki lagi kelemahan, kita berikrar untuk memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat insya-Allah,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Faridiyah, Kuala Lumpur anjuran Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengerusi Madrasah merangkap Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan.
Seramai 2,500 orang menerima sumbangan terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.