fb fb fb fb fb

Patuh garis panduan ketika jemput orang kenamaan ke sekolah - Fadhlina

Foto BERNAMA

PORT DICKSON, 12 Mac- Jemputan ke sekolah yang melibatkan orang kenamaan, ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya tiada halangan untuk membenarkan jemputan daripada golongan berkenaan sekiranya garis panduan yang ditetapkan, dipatuhi.

"Dia sekolah ini, nombor satu kita kena ingat adalah keselamatan anak-anak...yang kedua adalah daripada segi kebenaran itu kita kena ada proses dia..jadi garis panduan yang kita buat itu mestilah dipatuhi dan hormat proses tersebut," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja Menteri Pendidikan sempena pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga, di sini.

Tambahnya, Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023 merupakan garis panduan yang dikeluarkan KPM bertujuan memastikan keselamatan, kebajikan serta kesejahteraan warga dan harta benda institusi pendidikan terjamin.

Terdahulu, seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, mendakwa dirinya dihalang untuk hadir dan merasmikan program melibatkan pelajar di sekolah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM