KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhasrat untuk menawan puncak gunung tertinggi dunia, Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest "Mencari Hati Emas" 2025.
Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkata, projek yang sudah diilhamkan sejak beberapa tahun itu bertujuan untuk menambah dana bagi membantu anggota bomba kurang bernasib baik.
Selain itu, beliau juga berhasrat untuk menjadikan bomba sebagai pasukan badan beruniform negara yang berjaya menjejakkkan kaki ke puncak, sekali gus membuktikan pasukan badan beruniform di Malaysia setanding dengan pasukan-pasukan badan beruniform negara maju yang lain.
“Projek pendakian ke puncak gunung ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah ilham saya sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.
"Projek kali ini dianjurkan oleh Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) bagi menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.
“Projek yang mendapat sokongan penuh dan persetujuan daripada JBPM ini bertujuan membantu mereka yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau yang masih dalam perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakhrul berkata, misi ke Everest itu tidak mengutip derma daripada rakyat Malaysia atau menggunakan wang kerajaan. Sebaliknya, mengumpul dana menerusi jualan amal alat pemadam api (edisi khas) satu kilogram berserta barangan kombo (baju-T eksklusif dan topi tahan lasak).
Alat pemadam api berkenaan boleh dibeli dengan harga RM139 seunit manakala baju-Teksklusif (RM59) dan topi (RM39) atau pembelian secara kombo untuk ketiga-tigaitem tersebut pada harga RM199.
Pembelian boleh dibuat di https://twh.yezza.store/
Katanya, objektif utama jualan amal terbabit adalah mendidik orang ramai tentang pentingnya untuk sentiasa cakna dan bersiap siaga dengan alat pemadam api.