
MELAKA, 24 Januari – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menitipkan tiga pesanan penting kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung sebelum akhir tahun ini.
- Pastikan perkhidmatan kepada rakyat diteruskan tanpa gangguan sepanjang tempoh PRN Melaka.
- Elak melakukan sebarang kesilapan walaupun sekali, terutama oleh wakil rakyat BN.
- Kawal emosi dan hanya nyatakan perkara baik walau berdepan provokasi politik.
- Perincikan pelaksanaan konsep Rumah Bangsa bersama Ketua Menteri untuk disesuaikan dengan PRN Melaka.
Beliau berkata, antara pesanan utama ialah memastikan perkhidmatan berterusan diberikan kepada rakyat sepanjang tempoh ini, selain mengelakkan sebarang kesilapan walaupun sekali, khususnya dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, pemimpin parti juga diingatkan supaya mengawal emosi serta hanya menzahirkan perkara-perkara yang baik meskipun berdepan pelbagai cabaran dan provokasi dalam arena politik.
“Sebagai orang politik dan wakil rakyat, kita akan mendengar pelbagai perkara. Namun, jangan bertindak melulu atau beraksi secara melenting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Anak Yatim, Pelajar Tahfiz dan Masyarakat Setempat di Masjid Al-Falihin, Alai, Telok Mas, di sini.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa ketiga-tiga pesanan berkenaan perlu diterima dan dihayati oleh semua pemimpin agar rakyat Melaka, khususnya para pengundi, dapat disantuni dengan sebaiknya menjelang PRN negeri itu.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, berkata konsep Rumah Bangsa di Melaka akan diperincikan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, khususnya berkaitan metodologi pelaksanaan bagi menterjemahkan konsep tersebut dalam konteks PRN Melaka.