KUALA LUMPUR, 3 Mei - Pasaran hartanah tempatan akan meneruskan pemulihan berperingkat tahun ini, dengan pertumbuhan diunjur sekitar 3 hingga 4 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartanah Rahim & Co, Siva Shanker berkata, ini berdasarkan peningkatan jumlah urus niaga dan nilai transaksi pasaran hartanah tahun lalu.
Jelasnya, nilai urus niaga bagi pelaburan utama di negara ini meningkat 53 peratus bagi suku pertama 2021, didorong terutamanya oleh hartanah dalam subsektor perindustrian.
Daripada jumlah itu, hampir 50 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga melibatkan hartanah industri, manakala 22 peratus hartanah komersial.
"Saya rasa pelaburan hartanah industri akan dipacu oleh peningkatan e-dagang yang melakukan aktiviti beli belah dalam talian.
"Jadi mereka memerlukan gudang lebih besar untuk menyimpan barangan. Dua sektor yang akan pulih dengan pantas, hospitaliti dan peruncitan yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang. Jadi ini memerlukan lebih banyak gudang dan kilang pembuatan," katanya kepada RTM di sini.
Berikutan peningkatan kos dan kepadatan hartanah di Selangor, Johor dan Pulau Pinang, pelabur dijangka beralih kepada beberapa negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.