KUALA LUMPUR, 9 Mac- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan disebabkan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar.
Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata suhu luar biasa sengit di sesetengah wilayah pengeluar getah akan menjejaskan produktiviti getah.
“Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, suhu luar biasa ini boleh mencapai sekitar 50 darjah celsius di beberapa wilayah di sana minggu ini. Pihak berkuasa kesihatan juga memberi amaran bahawa terdapat risiko keletihan haba dan juga strok haba akibat cuaca panas.
“Justeru, penoreh getah akan lebih berhati-hati dan dijangka mengurangkan aktiviti menoreh dan pemprosesan getah lain. Ia mungkin menyebabkan kekurangan bekalan untuk sementara waktu jika cuaca panas itu berterusan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, situasi geopolitik semasa mendorong harga komoditi tertentu berada pada paras di luar jangkaan dan ketersediaan lateks pukal yang lebih rendah juga meningkatkan kos pemprosesan, harga minyak dan gas tidak menentu juga satu lagi isu serius yang boleh menjejaskan perniagaan, katanya.
Sementara itu, seorang peniaga lain berkata pergerakan harga minggu depan akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau dan kekuatan ringgit berbanding dolar AS.
Menurutnya, harga minyak mentah penanda aras dalam persekitaran keyakinan untuk penurunan kadar faedah Amerika Syarikat pada 2024 dan pengetatan selanjutnya bekalan getah asli (NR) juga akan mempengaruhi pasaran.
“Pengendali pasaran juga akan terus memantau perkembangan terkini mengenai ekonomi AS dan China serta meneliti perkembangan geopolitik di Timur Tengah,” katanya.
Pada asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 turun 8.5 sen kepada 746.5 sen sekilogram (kg) pada Jumaat daripada 755.0 sen sekg pada minggu sebelumnya manakala lateks pukal meningkat 10.0 sen kepada 721.0 sekg daripada 711.0 sen sekg sebelum ini.
Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 757.5 sen sekg manakala lateks pukal pada 725.0 sen sekg.- BERNAMA