KUALA LUMPUR, 19 November — Pasangan panda gergasi baharu, Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina), selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 malam pada Selasa.
Ketibaan pasangan panda tersebut menjadi simbol persahabatan erat dan hubungan diplomatik yang terus kukuh antara Malaysia dengan China.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) memaklumkan, kedatangan panda baharu itu merupakan hasil Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang diperbaharu melalui pemeteraian perjanjian pada 16 April 2025.
"Perjanjian itu membolehkan Malaysia menerima panda muda untuk tempoh 10 tahun, bermula tahun 2025 sehingga 2035," menurut kenyataan NRES di sini.
Setibanya di tanah air, Chen Xing dan Xiao Yue dibawa ke Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara yang telah dinaik taraf bagi memastikan habitat selamat dan selesa.
"Kedua-dua panda itu kini menjalani kuarantin wajib selama sebulan di bawah pengawasan doktor haiwan dan penjaga berpengalaman sebelum dibuka untuk tontonan umum," kata kenyataan itu lagi.
Projek berkenaan bertujuan memelihara spesies panda yang semakin terancam serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Sebelum ini, Malaysia telah menerima pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi pada 2012 sebelum haiwan itu dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025.