
JITRA, 19 Januari – Dua individu yang ditemukan rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar dalam kejadian di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi, telah dikenal pasti selepas proses pengecaman oleh waris.
- Dua pasangan kekasih, lelaki 20 dan wanita 19, maut selepas kereta mereka terbakar di Plaza Tol Jitra.
- Kenderaan dipercayai hilang kawalan, melanggar pembahagi lorong, terbalik dan kemudian terbakar.
- Bedah siasat menunjukkan pemandu cedera di dada dan penumpang alami lecuran parah serta terhidu asap.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai pasangan kekasih, masing-masing berusia 20 tahun dan 19 tahun.
Menurut beliau, kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu oleh Pang Seng Ching, 20, seorang peniaga yang beralamat di Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis.
Penumpang wanita pula dikenal pasti sebagai Tan Hui Shan, 19, yang beralamat di Jalan Bukit Dumbar, Jelutong, Pulau Pinang.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan mangsa yang datang dari arah selatan menghala ke utara dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di Plaza Tol Jitra sebelum melanggar pembahagi lorong tol, terbalik dan terbakar.
Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah mendapati pemandu mengalami kecederaan di bahagian dada akibat hentaman kuat serta melecur teruk.
Sementara itu, penumpang wanita didapati mengalami lecuran parah serta terhidu asap akibat kebakaran berpunca daripada kemalangan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.